Jangan biarkan anak di rumah mati kelaparan
REAKSI Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung isu gaji minimum untuk pembantu rumah Indonesia memang sangat tepat.
Seperti kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, gaji minimum RM800 seperti yang dicadangkan itu akan memberi kesan kepada pasaran kerja membabitkan wanita negara ini.
Dan jika diteliti kepada banyak permasalahan yang dicetuskan oleh pembantu rumah warga Indonesia, cadangan gaji minimum itu memang sangat tidak munasabah.
Belum pun usai isu pemberian cuti sehari seminggu dan pasport dipegang oleh mereka sendiri, Indonesia tampil dengan cadangan gaji minimum tersebut. Percayalah, selepas ini, akan ada lagi tuntutan-tuntutan baru.
Semuanya atas perkiraan bahawa Malaysia terpaksa menerima semua tuntutan itu kerana kita "tiada pilihan lain".
Mungkin Indonesia bebas menyuarakan apa sahaja tuntutan yang difikirkan bermanfaat untuk warga mereka.
Tetapi di pihak Malaysia, seharusnya kebajikan majikan - rakyat sendiri - lebih diberi perhatian.
Kumpulan perunding Malaysia perlu bersikap tegas. Utamakanlah kepentingan rakyat. Jangan biarkan kita diperkotak-katikkan.
Gaji minimum RM800 bukannya sedikit. Ia setanding dengan gaji permulaan untuk mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Itu belum dikira jumlah yang perlu dibayar kepada agensi pembantu rumah. Ketika ini bayaran minimum kepada agensi dianggarkan sekitar RM6,000.
Apabila tempoh setahun berakhir, majikan sekali lagi perlu menanggung kos untuk pemeriksaan perubatan dan bayaran levi.
Dan perlu diingat, majikan juga yang menanggung makan minum dan tempat tinggal pembantu rumah selain membayar kos perubatan apabila mereka jatuh sakit!
Itu hanya mengambil kira kes-kes pembantu yang amanah. Bagaimana pula jika majikan terpaksa berdepan dengan kerenah pembantu rumah yang menyesakkan dada?
Pemberian cuti sehari seminggu dan pasport dipegang oleh mereka sendiri akan mengundang lebih banyak mudarat daripada manfaat . Jika ketika pasport disimpan oleh majikan pun berlaku kes pembantu lari, inikan pula jika ia dipegang oleh mereka sendiri. Lagilah naik tocang!
Kita percaya selepas ini akan timbul lebih banyak kes pembantu rumah melarikan diri. Majikan sekali lagi akan tersepit. Imigresen awal-awal lagi sudah 'menghukum' kerana majikan dipaksa membayar denda sedangkan yang membuat onar ialah pembantu rumah.
Rasanya langkah terbaik untuk Malaysia lakukan ialah tunjukkan kepada Indonesia bahawa kita sentiasa mempunyai pilihan. Beritahu mereka bukan hanya Indonesia yang boleh membekalkan pembantu.
Jika mereka mengugut untuk menghentikan penghantaran amah, kita boleh beralih kepada negara lain. Buka peluang kepada pembantu dari Thai atau Kemboja pula.
Mungkin ada masalah daripada segi budaya pada awalnya tetapi ia pasti boleh diatasi.
Biarkan selepas ini Indonesia menyaksikan limpahan tenaga kerja di negara mereka. Adakah Jakarta sanggup menanggung jumlah pengangguran yang melimpah-ruah itu.
Adakah rakyatnya akan berdiam diri? Kita lihat pula apa yang akan berlaku.
Percayalah akan ada di kalangan rakyatnya yang sanggup mengharungi lautan untuk tetap datang ke Malaysia ini. Golongan ini akan sanggup menerima gaji seperti sekarang, asalkan berada di sini.
Ketika ini, yang perlu ialah ketegasan Malaysia. Biarkanlah kera di hutan itu mati kelaparan asalkan anak di rumah tidak kebuluran. Utamakan kepentingan majikan - rakyat yang bertindak sebagai pengundi.
Komen aku : Sangatlah tidak bersetuju kerana menyusahkan orang-orang yang berpendapatan sederhana. Kalau 3 orang anak antar nurseri sorang RM200x3 =RM600 so sekarang kalau amek maid leh jimat RM200 kerana gaji dorang skrg pon dalam RM400. Kalau Malaysia setuju dengan gaji RM800 sure ramai yang antar anak ke e nurseri semula yang belum tentu selamat dari segi kebersihan dan kesihatan. Aku baru berura-ura nak amek maid sebab anak-anak ku selalu sakit, kadang-kadang nurseri suka-suka hati OFF time ibubapa bekerja kalau gini gamaknya....pasni aku tak beranak dah ler hahahaha...