Papa Dan Anis Syahida

Papa Dan Anis Syahida

Merekalah Kekuatan Ku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie Breastfeeding tickers

Tiada bukti saintifik susu soya sesuai untuk pembesaran bayi

Surat ini ditulis atas kebimbangan terhadap berleluasanya aktiviti pengiklanan mengenai kebaikan susu formula bayi berasaskan kacang soya di media massa.
Kami sebagai pakar perubatan kanak-kanak, ingin menerangkan dengan terperinci mengenai kesan atau keadaan di mana penggunaan susu soya boleh disyorkan berdasarkan kepada maklumat saintifik terkini.
Susu ibu adalah pilihan terbaik untuk bayi yang sedang membesar. Sekiranya, penyusuan susu ibu tidak dapat diteruskan atas sebab tertentu, susu formula bayi berasaskan protein lembu adalah pilihan alternatif yang disyorkan. Protein soya adalah berasal dari sumber tumbuhan.
Secara amnya, kualiti protein dari sumber tumbuhan adalah lebih rendah berbanding kualiti protein dari sumber susu manusia atau dari sumber susu lembu.
Ia disebabkan kekurangan sesetengah jenis asid amino yang amat diperlukan untuk pertumbuhan fizikal yang sihat.
Tambahan pula, susu soya mengandungi kandungan aluminium dan "phyto-oestrogens" berlebihan yang kesan jangka panjangnya terhadap tubuh badan manusia masih belum diketahui dengan terperinci buat masa ini.
Banyak badan profesional seperti Akademi Pediatrik Amerika, Persatuan Gastroenterologi dan Nutrisi Pediatrik Eropah serta Persatuan Perubatan Australia tidak mengesyorkan penggunaan susu berasaskan protein soya kepada bayi pramatang dan bayi berusia kurang dari enam bulan.
Penggunaan susu soya hanyalah terhad kepada kanak-kanak yang menghidapi penyakit 'Galactosaemia' iaitu sejenis penyakit metabolik yang jarang berlaku dan kanak-kanak yang menghadapi masalah 'Isolated Lactose-intolerance' iaitu ketidakbolehan menghadamkan gula laktosa yang terkandung di dalam susu lembu dan manusia.Kami juga turut melihat trend penggunaan susu soya sebagai susu gantian ketika berlaku ciririt. Susu soya dipercayai boleh memendekkan tempoh jangka masa cirit-birit. Ingin ditegaskan bahawa setakat ini, tiada bukti saintifik menyokong kenyataan di atas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan kepentingan strategi memastikan pengambilan cecair dan elektrolit yang mencukupi ketika cirit-birit.
Penggunaan susu berasaskan protein soya hanya terhad untuk jangka masa pendek kepada kanak-kanak yang disahkan mempunyai masalah menghadamkan gula laktosa disebabkan cirit-birit (secondary lactose intolerance) dan tidak perlu disambung penggunaannya untuk tempoh jangka masa panjang.
Susu berasaskan protein soya juga sering disyorkan kepada bayi yang mempunyai masalah radang perut atau kolik oleh ramai pengamal perubatan. Realitinya, tiada bukti saintifik menyokong amalan berkenaan.
Tambahan pula, masalah kolik di kalangan bayi tidak memerlukan sebarang rawatan spesifik kerana masalah ini tidak berbahaya dan akan pulih dengan sendirinya.
Dengan peggunaannya di dalam rawatan asma adalah satu lagi keadaan di mana susu berasaskan protein soya digunakan tanpa indikasi tepat. Sekali lagi, tiada bukti saintifik yang menyokong amalan ini.
Peranan susu berasaskan protein soya di dalam rawatan masalah alahan kepada protein lembu tidak dapat dinafikan, tetapi ingin ditegaskan di sini bahawa masalah alahan protein lembu jarang berlaku dan sekiranya berlaku, penggunaan susu berasaskan protein soya hanya terhad untuk bayi berusia 6 bulan ke atas yang disahkan oleh pakar perubatan bahawa bayi mempunyai masalah ini.
Kami berharap penerangan yang diberikan dapat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan susu berasaskan protein soya. Ia adalah satu sumber nutrisi alternatif, tetapi penggunaannya terhad kepada keadaan tertentu saja.

PROFESSOR DR LEE WAY SEAH,
Presiden Kolej Pediatrik
Akademi Perubatan
Malaysia.

DR SOO THIAN LIAN,
Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia


Pengorbanan Wardina Menjayakan Penyusuan Eksklusif -3 anak

Oleh Ramlah Zainal



SEBAGAI wanita berkerjaya dan berstatus ibu kepada tiga anak yang masih kecil, pelakon dan pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Wardina Saffiyah mengakui agenda hidupnya cukup padat.

Kesibukan Wardina atau nama sebenarnya Wardina Saffiyah Fadhlullah semakin berganda sejak kehadiran cahaya mata ketiga, Imran Arrazi yang kini berusia 7 bulan. Selain Imran, Wardina dan suaminya, Ikhwan Johari mempunyai dua anak perempuan, Amna Nafeesa, 6, dan Azra Sareera, 3.

Bergelar ibu menuntut banyak pengorbanan dan ia cukup meletihkan kerana saya perlu memulakan hari seawal jam 4 pagi setiap hari. Tapi ia bukan alasan untuk saya memastikan anak-anak kami dibesarkan sebaik mungkin dan mendapat sepenuh kasih sayang ibu dan bapa.

Terus terang, bukan mudah mendidik anak pada zaman serba mencabar ini. Saya juga tidak mahu mereka hanyut dalam hiburan dan lalai dengan teknologi canggih masa kini.

Apa yang saya praktikkan dalam mendidik anak ialah menggalakkan mereka supaya berfikir, mencintai buku dan ilmu pengetahuan. Saya banyak bercakap dengan anak dan menggalakkan mereka bertanya soalan," katanya.

Wardina juga sangat menitikberatkan pemakanan anak-anaknya sejak bayi lagi.


"Saya pastikan anak mendapat makanan berkhasiat untuk membentuk 'minda' mereka sebaik-baiknya. Sebab itu saya juga buat menu kegemaran anak di rumah supaya mereka mendapat khasiat secukupnya.


"Saya juga memberi mereka banyak stimulasi. Sebagaimana kita tahu otak kanak-kanak berkembang pesat ketika usia mereka dari satu hingga tujuh tahun, sekaligus menentukan 'sikap' mereka di kemudian hari," katanya.

Pada masa sama, kata Wardina, dia juga sangat menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif, sejak dulu.

"Saya menyahut cabaran penyusuan susu ibu, selari dengan nasihat dan polisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta kerajaan.

"Golongan ibu diseru menyusukan anak secara eksklusif selama 6 bulan pertama dan terus menyusu sehingga 2 tahun ditambah dengan makanan pejal selepas 6 bulan.

"Saya akui bukan mudah melaksanakannya kerana ia begitu mencabar dari aspek fizikal dan mental. Sebenarnya, terlalu banyak kebaikan susu ibu kepada anak dan ibunya.

"Saya masih menyusukan Imran secara eksklusif dan akan terus melakukannya, InsyaAllah sehingga dia berumur 2 tahun seperti dua anak saya sebelum ini.

"Itu tanggungjawab saya sebagai ibu. Jika ada pihak mahukan nasihat dan sokongan, saya memang sedia membantu. Saya selalu berjumpa dan memberi nasihat kepada ibu baru secara percuma. E-mail saya diwardina.dina@yahoo.com," katanya.

Wardina berkata, dia juga menggalakkan lebih ramai ibu berkerjaya menyusukan anak.

"Walaupun saya artis dan sibuk ke sana ke mari, tapi ia bukan alasan untuk tidak menyusukan badan. Ada cara dan kaedah yang boleh dipraktikkan.

"Cuma masalahnya, ramai ibu putus asa terlalu awal kerana tidak mendapat sokongan kerana kurang pengetahuan. Tiada kata yang dapat digambarkan apabila melihat anak kita membesar daripada darah daging sendiri," katanya.

Personaliti televisyen berdarah kacukan Aceh-Australia ini berkata, kehadiran Imran menceriakan keluarganya terutama suami yang mengharapkan kehadiran anak lelaki.

"Suami sangat gembira dengan kelahiran putera sulung kami. Suami memilih nama Imran kerana ia nama bapa Maryam iaitu ibu kepada Nabi Isa yang juga nama orang yang soleh. Nama Arrazi pula kami cari bersama.

"Maklumlah, saya dan suami sangat menitikberatkan nama yang dipilih buat anak. Pada saya, nama Islam mudah dan ringkas, itulah yang terbaik," katanya.

Wardina berkata, Arrazi diambil sempena nama ilmuwan Islam terulung dalam bidang perubatan dan falsafah.

"Al Razi atau dikenali dengan nama Rhazes di Barat adalah pakar bedah ternama, penulis jurnal dan ensiklopedia perubatan yang banyak memberi sumbangan kepada dunia.

"Mungkin Imran tidak menjadi sehebat Al Razi, tetapi doa kami supaya dia dapat menyumbang kepada manusia lain serta menjadi pencinta ilmu," katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya sebagai pengacara, Wardina kini semakin selesa mengendalikan MHI bergandingan dengan personaliti TV3 lain iaitu Ally Iskandar, Abby Fana, dan Ahmad Fedtri Yahya sejak setahun lalu.

"Impian saya untuk bergelar antara pengacara terbaik di Malaysia. Saya ingin dikenali dengan gaya tersendiri dan berbeza daripada pengacara lain.

"Saya akan terus berusaha mencari ilmu kerana mengacarakan MHI cukup mencabar kredibiliti. Tapi, saya mencintai tugas yang dilakukan sekarang," katanya.

Wardina berkata, dia bersyukur kerana peminat terus setia menyokongnya dari zaman remaja sehingga sekarang.

"Saya percaya, jika kita ikhlas dan tidak berpura-pura, peminat dapat menilainya sendiri. Dunia seni memang banyak mengajar saya erti kehidupan. Pengalaman saya penuh warna-warni dan ia membentuk diri saya hari ini. Saya tidak suka pandangan orang yang 'stereotype' pada golongan artis.

"Kadangkala, ia begitu negatif sehinggakan ada yang beranggapan saya hidup terlalu mewah, sombong, suka bergaya, dan tidak cerdik. Saya mahu masyarakat di luar sana jangan terlalu cepat menilai seseorang berdasarkan apa yang mereka lihat," katanya.

Pemegang Diploma dalam Jurusan Senibina Dalaman di Kolej Cenfad ini juga sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa.

"Sebenarnya, saya dibesarkan dalam suasana dan budaya yang amat mencintai buku dan ilmu kerana ibu bapa ahli akademik. Saya juga berusaha menambah ilmu sedia ada kerana impian saya untuk menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebelum berusia 40 tahun.

"Saya juga ingin membantu masyarakat dengan ilmu yang ada di samping memberi contoh baik buat anak-anak," katanya.

Dalam perkembangan lain, duta produk Slim World ini sibuk menyiapkan buku untuk berkongsi pengalamannya sebagai ibu dengan peminat.

"Saya memang suka menulis dan ilham datang tanpa henti, baru-baru ini. Pada masa sama, saya memang suka kanak-kanak dan mahu berkongsi idea dan pengalaman sebagai ibu tiga anak dengan peminat," katanya.

Profil
NAMA: Wardina Saffiyah Fadhlullah
TARIKH lahir: 5 Jun 1979
KERJAYA: Pelakon dan pengacara Malaysia Hari Ini (MHI)
PENDIDIKAN: Diploma Rekaan Dalaman, Kolej Cenfad
DRAMA: Spanar Jaya, Cinta Madinah, Cinta Madinah 2, Impian Ilyana
FILEM: Lagi-Lagi Senario dan Cinta 200 Ela.
SUAMI: Ikhwan Johari
ANAK: Amna Nafeesa, 4, Azra Sareera, satu tahun setengah, Imran Arrazi, 7 bulan.